Khamis, 21 Oktober 2021

TERKINI: SABAH MULAKAN PEMBERIAN DOS PENGGALAK.



20 Oktober 2021

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Bin Haji Noor hari ini merasmikan Majlis Perasmian Dos Penggalak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Peringkat Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (Sabah International Convention Centre). 

Dalam majlis perasmian tersebut YAB Ketua Menteri Sabah menjadi penerima pertama dos penggalak vaksin Comirnaty (keluaran Pfizer BioNTech) di Sabah diikuti dengan YB. Datuk Dr. Joachim Gunsalam, Timbalan Ketua Menteri III, YB. Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan/Menteri Kewangan II, YB.Datuk Jahid Jahim @ Nordin Menteri Pembangunan Luar Bandar dan YB.Datuk Ir. Haji Shahelmey bin Yahya, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat bersama beberapa lagi ahli Jemaah Menteri, Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Negeri Sabah yang lain.

Turut menerima dos penggalak pada majlis yang sama adalah Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, YBhg. Datuk Dr Rose Nani binti Mudin.

Majlis ini menandakan bermulanya pemberian suntikan dos penggalak kepada petugas barisan hadapan, golongan berisiko seperti warga emas berusia 60 tahun ke atas dan individu yang mempunyai komorbid yang sudah menerima dos lengkap sekurang-kurangnya enam bulan lepas.

TERKINI: Anggota Bomba Lemas Ketika Misi Menyelamat Meninggal Dunia.


Anggota bomba yang terlibat dalam membantu mangsa banjir semalam di sungai Putat, Melaka telah kembali ke Rahmatullah kira-kira 3.11 pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Abu Bakar Katain, mengatakan mangsa Mohd Diya Che Jusoh, 46, meninggal dunia di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Melaka.

Ketika kejadian kira-kira pukul 4 petang semalam, Mohd Diya dipercayai lemas ketika sedang memasang tali di kawasan banjir bagi membantu penduduk kampung keluar dari kediaman masing-masing. 

Difahamkan, beliau tersangkut dalam aliran deras air banjir sebelum anggota bomba lain bersama-sama penduduk kampung cuba menyelamatkannya. Beliau kemudian terus dikejarkan ke hospital Melaka.

Takziah kepada keluarga Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh dan seluruh warga JBPM Negeri Melaka.

Semoga roh dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para syuhada dan hamba-hambaNya yang soleh.

Selasa, 19 Oktober 2021

SANDAKAN: Bot dinaiki empat warga tempatan terbakar.


Tindakan Pantas Reef Guardian dan ATB 2 selamatkan 4 individu dari bot terbakar di Pulau Billean , Sandakan. 

Hasil maklumat mangsa, kejadian berlaku pada jam 12.30 tengah hari. Bot tersebut, dinaiki oleh 4 orang warga tempatan telah terbakar sewaktu menghidupkan pam air menggunakan teknik jump-start ketika sedang berlindung di Pulau Billean kerana hujan lebat. 

Bot yang telah terbakar terpaksa dilepas dan hanyut menuju ke Pulau Tegipil yang terletak berhampiran pulau tersebut. Bot dalam perjalanan dari Sandakan menuju ke Kudat untuk urusan perniagaan sangkar ikan. Walau bagaimanapun, mereka terpaksa berlindung di jeti Pulau Billean milik Reef Guardian kerana hujan lebat.

Keempat-empat mangsa telah dibawa ke Pulau Lankayan oleh bot Reef Guardian dan diserahkan kepada pasukan ATB 2 untuk dibawa ke Sandakan. Bot VIPER 7 ditugaskan membawa mangsa ke Hospital Duchess of Kent (HDOK), Sandakan.

Sumber: Majlis Keselamatan Negara Negeri Sabah

Isnin, 18 Oktober 2021

MOHON SEGERA: Pelbagai kekosongan jawatan FELDA seluruh Malaysia.


Peluang Kerjaya bersama FELDA dengan gaji  minimum bermula RM1,218.00 sehingga maksimum RM9,551.00

Majikan: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA)
Lokasi kekosongan: Pejabat FELDA Seluruh malaysia
Syarat permohonan: Rujuk Iklan

Senarai jawatan kosong yang ditawarkan:

1.) Kumpulan pengurusan dan profesional

*Pegawai pertanian gred G41
*Pegawai tadbir gred N41

2.) Kumpulan Pelaksana

*Penolong pegawai rancangan tanah gred G29
*Pembantu tadbir perkeranian/operasi gred N19
*Setiausaha pejabat gred N19
*Pegawai khidmat pelanggan gred N19
*Penyelia rancangan tanah gred G19
*Pemandu kenderaan gred H11

Lembaga kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) mempelawa calon-calon warganegara Malaysia yang berumur tidak kurang dari 18 tahun pada tarikh tutup iklan jawatan serta berkelayakan berdasarkan syarat yang ditetapkan untuk mengisi jawatan secara TETAP untuk penempatan di pejabat FELDA seluruh Malaysia.

Permohonan boleh dibuat melalui pautan  DISINI (sila layari dari PC/desktop/laptop untuk pendaftaran) sehingga 25 Oktober 2021.





SEKOLAH DIBUKA BERMULA 1 NOVEMBER 2021.


Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merujuk kepada pengumuman YAB Perdana Menteri Malaysia pada 15 oktober 2021 berkaitan peralihan fasa pelan pemulihan negara (PPN) bagi negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Sabah, Melaka, Selangor dan Wilayah persekutuan Kuala Lumpur serta Wilayah persekutuan Putrajaya berkuatkuasa pada 18 oktober 2021.

KPM telah menetapkan bahawa jika sesebuah negeri beralih ke fasa seterusnya, pengoperasian institusi pendidikan dibawah KPM mengikut ketetapan fasa baharu akan dilaksanakan selepas dua minggu daripada tarikh peralihan ke fasa tersebut.

Sehubungan dengan itu, pengoperasian institusi dibawah KPM bagi negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Sabah dan Perak akan terus beroperasi berdasarkan ketetapan negeri Fasa 2 PPN pada 18 oktober 2021. Apabila Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Sabah dan Perak beralih ke fasa 3 pada 18 oktober 2021, maka pengoperasian institusi pendidikan berdasarkan ketetapan fasa 3 bagi negeri Kedah dan Kelantan akan bermula pada 31 Oktober 2021 Manakala bagi negeri Pulau Pinang, Perak dan Sabah, pengoperasian institusi pendidikan berdasarkan ketetapan Fasa 3 akan bermula pada 1 November 2021.

Pengoperasian Fasa 3 PPN ini melibatkan murid prasekolah, murid berkeperluan khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional dan Program Pendidikan Khas Integrasi, Tingkatan 6 Semester 2, Prauniversiti Sekolah Sukan Malaysia, kelas peperiksaan awam di sekolah asrama sepenuhnya/sekolah harian/sekolah swasta, International Baccalaureate Diploma, serta kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBD) dan kelas peperiksaan antarabangsa yang lain.

Bagi negeri Melaka, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM terus beroperasi berdasarkan ketetapan negeri Fasa 3 PPN pada 18 Oktober 2021. Memandangkan negeri-negeri ini akan beralih ke Fasa 4 PPN bermula 18 Oktober 2021, pengoperasian institusi pendidikan di negeri-negeri berkenaan berdasarkan ketetapan Fasa 4 PPN hanya akan bermula pada 1 November 2021. Ini turut melibatkan kemasukan bagi murid Tahap 1 (Tahun 1, 2 dan 3) sekolah rendah serta murid Tingkatan 3 dan Tingkatan 4 sekolah menengah.

Kehadiran murid Tahap 2 (Tahun 4, 5 dan 6) sekolah rendah serta kelas peralihan, Tingkatan 1 dan Tingkatan 2 sekolah menengah bagi negeri Melaka, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Wilayah Persekutuan Putrajaya akan bermula pada 8 November 2021, iaitu seminggu selepas negeri-negeri tersebut memulakan pengoperasian berdasarkan ketetapan Fasa 4 PPN.

Institusi pendidikan bawah KPM dalam kenyataan media ini turut merujuk kepada institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat.

KPM menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri.

KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik.

-TAMAT

KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA

TERKINI: SABAH MULAKAN PEMBERIAN DOS PENGGALAK.

20 Oktober 2021 KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Bin Haji Noor hari ini merasmikan Majlis...