Khamis, 10 Jun 2021

(SABAH) SINDIKET PALSUKAN DOKUMEN PENGENALAN DIRI TUMPAS.


(SABAH) SINDIKET PALSUKAN DOKUMEN PENGENALAN DIRI TUMPAS.

Kota Kinabalu: Seramai sembilan orang warga asing ditahan selepas dipercayai terbabit dalam sindiket pemalsuan pelbagai jenis dokumen pengenalan diri dalam operasi selama dua hari berakhir 6 Jun lalu.

Operasi Op Serkap oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah itu, dijalankan di tiga lokasi iaitu Kampung Air, Kampung Likas dan Inanam.

Pengarah JIM Sabah Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad Amin berkata, semua yang ditahan membabitkan enam lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 20 hingga 76 tahun.

Katanya, semua suspek warga Filipina itu ditahan bersama 90 keping surat pengesahan dokumen sementara, surat pengesahan unit penempatan dan resit pengenalan sementara Jabatan Ketua Menteri (JKM) Sabah yang dipalsukan.

"Selain itu, kita turut merampas 22 keping Mykad dan salinan sijil lahir serta 13 keping permit masuk IMM 5 dan pas lawatan IMM13 JIM yang dipalsukan.

"Pasukan JIM turut berjaya merampas 140 keping gambar berukuran pasport yang dipercayai untuk tujuan pengeluaran dokumen palsu," katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Muhamad Sade berkata, JIM turut merampas dua kenderaan termasuk sebuah pacuan empat roda dan semua suspek sudah ditahan reman untuk membantu siasatan lanjut.

"Siasatan yang dijalankan turut mendapati semua dokumen berkenaan dijual pada harga sekitar RM100 hingga RM500.

"Semua dokumen berkenaan dijual kepada warga Filipina dan sehingga kini dipercayai 200 hingga 300 dokumen sudah dikeluarkan," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) iaitu pemalsuan atau pindaan bagi pengendorsan atau dokumen.

"Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 56(1)(j), Seksyen 56(1)(i) dan Seksyen 56(1A)(c) akta yang sama.

"Ia membabitkan kesalahan menggunakan dokumen milik orang lain, menggunakan dokumen palsu dan bersubahat

serta membabitkan diri untuk melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

"Semua suspek turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tidak mempunyai pas yang sah," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TERKINI: SABAH MULAKAN PEMBERIAN DOS PENGGALAK.

20 Oktober 2021 KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Bin Haji Noor hari ini merasmikan Majlis...