Persatuan Unduk Ngadau Sabah (PUNS) amat memandang serius terhadap kes tular baru-baru ini mengenai isu seorang individu mengeksploitasikan peserta Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri 2021.
Sungguhpun perkara ini masih diperingkat siasatan, namun kami ingin menyatakan bahawa kami bersedia memberikan segala sokongan kepada mana-mana peserta yang mengalami perkara tersebut. Kami (PUNS) juga ingin menyatakan bahawa, ‘kami mendengar suara anda dengan jelas dan akan menyokong usaha anda untuk memperolehi keadilan yang sewajarnya’. Kami juga turut merasa bangga dengan keputusan yang diambil untuk tampil menyuarakan insiden yang berlaku kerana keputusan tersebut sememangnya bukan mudah dan telah meletakkan anda di posisi yang amat sukar dan mencabar.
Namun, PUNS berpandangan bahawa semua wanita Unduk Ngadau (UNK) perlu berganding bahu dan saling menyokong dalam usaha untuk menyuarakan apa-apa bentuk gangguan atau perbuatan jenayah yang dilakukan terhadap wanita.
Perkara ini perlu dijadikan contoh oleh semua wanita Unduk Ngadau agar berani untuk bersuara demi memelihara maruah dan martabat wanita KDMR. Suminundu pun pada satu ketika dahulu pernah mengalami cabaran dan berani mengambil tindakan yang wajar bagi menyelamatkan masyarakat KDMR sehingga diangkat sebagai wanita yang mulia yang dikenali sebagai Huminodun.
PUNS ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak berkuasa yang melaksanakan siasatan secara telus bagi memastikan hak individu terpelihara. PUNS turut berharap agar masyarakat menghormati keputusan peserta Unduk Ngadau ini dan memberikan ruang untuk memperolehi keadilan yang sewajarnya. Di samping itu, PUNS menyeru agar tiada sebarang gangguan ataupun pengaruh oleh mana-mana pihak ke atas peserta UNK ini sepanjang proses siasatan dijalankan.
Sebagai masyarakat KDMR kita memegang prinsip dan nilai ‘Mitabang’ atau semangat kekitaan dan berganding bahu dalam setiap aspek kehidupan seharian. Kami merayu kepada seluruh warga KDMR untuk saling berusaha dan berganding bahu untuk memperkasakan peranan wanita UNK agar mereka terus diberikan hak bersuara dalam semua aspek serta menyokong usaha untuk membina keyakinan semua wanita KDMR. Mari kita sama-sama memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi agar peserta Unduk Ngadau yang terjejas akan mempunyai kekuatan serta ketabahan untuk melalui saat yang mencabar dan sukar ini.
Ellyanti P. Nelson
Pengerusi Persatuan Unduk Ngadau Sabah (PUNS)
- - -
Tiada ulasan:
Catat Ulasan