Hari ini 27 tahun yang lalu, pemuzik terkemuka dunia era 1990an, Kurt Cobain menemui ajalnya.
Mayat ‘frontman’ kumpulan Nirvana itu ditemukan di dalam rumahnya di Seattle, Washington, tiga hari kemudian oleh seorang juruelektrik yang datang untuk memasang sistem keselamatan di rumahnya.
Kemerosotan otaknya bermula daripada satu kejadian di Itali sebulan sebelumnya apabila dia koma dan hampir maut selepas mencampur minuman champange dengan dadah jenis Rohypnol. Ramai percaya ia kerana pengambilan kokain berlebihan, memandangkan dia memang bermasalah dengan dadah itu.
Pulang ke Seattle, polis dipanggil ke rumahnya apabila Cobain dilapor bertindak luar kawalan dan mengugut untuk mencederakan dirinya. Mereka berjaya merampas empat pucuk pistol, walaupun Cobain pernah menyatakan yang dia tidak menyukai senjata api.
Pada penghujung Mac, dia secara paksa masuk ke pusat pemulihan di Los Angeles, tetapi keluar tidak lama selepas itu tanpa memberitahu sesiapa termasuk keluarga dan rakan-rakannya. Selama beberapa hari dia tidak pulang ke rumah dan gagal ditemui, memaksa isterinya, Courtney Love, mengupah penyiasat peribadi pada 3 April.
Cobain akhirnya berjaya ditemukan di Seattle, tetapi dia tidak mahu pulang ke Los Angeles. Pada masa sama, Cobain berjaya memujuk seorang kenalannya untuk membelikannya selaras senapang patah, dengan alasan sebagai perlindungan.
Pada 5 April, dia menembak kepalanya sendiri dari bawah dagu, selepas meracuni diri dengan kandungan heroin dan dadah jenis Valium.
*Menamatkan nyawa sendiri bukanlah penyelesaian kepada segalanya. Berhubung dengan orang tersayang, dan jangan malu berkongsi masalah dengan mereka. Jika itu tidak membantu, hubungi talian berikut yang sedia mendengar dan membantu kekusutan anda.
Sumber: History
Tiada ulasan:
Catat Ulasan