Sabtu, 3 April 2021

JANGAN TERUS BERKUMUR SELEPAS MEMBERUS GIGI, CUKUP SEKADAR MELUDAH SAHAJA?



JANGAN TERUS BERKUMUR-KUMUR SELEPAS MEMBERUS GIGI, CUKUP SEKADAR MELUDAH SAHAJA?

Hari ini berlegar-legar di media sosial tentang “screenshot” dari laman Twitter tentang kenyataan seorang individu yang mengatakan bahawa jangan berkumur-kumur selepas memberus gigi, cukup sekadar meludah sahaja.

Sebenarnya perkara ini bukanlah perkara yang baharu terutama di negara-negara Eropah. Ianya telah pun banyak disarankan untuk dipraktikkan oleh doktor-doktor serta pakar pergigian di sana. 

Di sana, mereka menggunakan slogan “Spit, don’t rinse.”

Walaubagaimanapun perkara ini mungkin jarang didengar oleh kebanyakan orang di negara kita dan ramai yang menganggap bahawa perkara ini merupakan perkara baharu ataupun sesuatu yang salah.

Seperti yang diketahui, fluorida merupakan bahan utama dalam ubat gigi yang memberi manfaat besar untuk mencegah terjadinya kerosakan gigi dengan cara membentuk lapisan gigi yang lebih kuat (fluorapatite). 

Berbanding struktur kimia asal enamel gigi iaitu hydroxyapatite, lapisan fluorapatite yang terbentuk hasil daripada gabungan molekul hydoxyapatite dan flourida ini lebih kuat dan mempunyai ketahanan terhadap asid yang lebih tinggi. Asid berasal daripada:

❗️Penguraian sisa makanan yang kita makan oleh bakteria yang terdapat di dalam mulut kita.

❗️Makanan/minuman yang masam atau minuman yang bergas.

❗️Muntah yang bercampur dengan asid dari dalam perut.

Secara tidak langsung, dengan terbentuknya lapisan fluorapatite ini, maka risiko untuk terjadinya kerosakan gigi menjadi lebih rendah. Kerana itulah doktor gigi menyarankan untuk menggunakan ubat gigi yang mengandungi fluorida.

Saranan agar tidak terus berkumur-kumur dan cukup sekadar meludah selepas memberus gigi dibuat dengan tujuan untuk memastikan agar gigi dapat menyerap fluorida yang terkandung di dalam ubat gigi secara maksimum. 

Apabila kita terus berkumur-kumur selepas memberus gigi, fluorida akan larut di dalam air dan dikhuatiri gigi tidak mempunyai masa yang cukup untuk menyerap kandungan fluorida tersebut secara maksimum.

Namun timbul pula persoalan di mana ketika kita masih kecil dahulu, kebanyakan jururawat serta doktor gigi yang datang ke sekolah akan mengarahkan kita untuk berkumur-kumur selepas selesai memberus gigi.

Apa yang perlu difahami di sini adalah, ketika masih kecil, kita disarankan untuk terus berkumur-kumur selepas memberus gigi kerana dikhuatiri kita cenderung untuk menelan lebihan ubat gigi tersebut. Tabiat menelan lebihan ubat gigi ini secara berterusan dalam kuantiti yang banyak boleh mengakibatkan terjadinya kerosakan terhadap benih gigi kekal iaitu suatu keadaan yang disebut sebagai fluorosis gigi. Fluorosis boleh terjadi apabila kandungan fluorida berlebihan di dalam tubuh seorang kanak-kanak ketika benih gigi kekal belum tumbuh dan sedang terbentuk.

Manakala setelah kita dewasa dan gigi kekal sudah pun tumbuh dengan sempurna, keadaan fluorosis gigi ini tidak lagi akan berlaku. Oleh itu saranan agar tidak berkumur-kumur dan cukup sekadar meludah selepas memberus gigi ini sesuai untuk diamalkan oleh orang dewasa.

Jadi sebenarnya apa yang dikatakan oleh individu di laman Twitter tersebut adalah TIDAK SALAH untuk diamalkan dan ianya memang disarankan dengan tujuan untuk memastikan gigi mendapat waktu yang cukup untuk menyerap kandungan fluorida agar manfaat fluorida dapat diperoleh secara maksimum.

Apatah lagi kebanyakan rakyat Malaysia tidak mengamalkan cara memberus gigi yang betul. Purata rakyat di Malaysia memberus gigi kurang daripada 2 minit. Malah ada segelintir yang memberus gigi cuma sekadar 30 saat sahaja! Jadi bagaimana gigi mampu untuk menyerap kandungan fluorida daripada ubat gigi secara maksimum jika waktunya terlalu singkat?

Jadi kesimpulannya, menurut pendapat saya:

1️⃣ Terpulang kepada anda sama ada anda mahu  mengamalkan saranan untuk tidak berkumur selepas memberus gigi ataupun tidak. 

2️⃣ Jika anda mahu memastikan gigi anda mempunyai waktu yang cukup untuk menyerap fluorida daripada ubat gigi secara maksimum, maka anda boleh untuk amalkan saranan tersebut.

3️⃣ Sebaliknya, jika anda tidak terbiasa dan tidak selesa untuk membiarkan rasa ubat gigi berada di dalam mulut anda, maka tidak salah untuk anda terus berkumur-kumur selepas memberus gigi, namun pastikan anda memperbaiki cara memberus gigi anda dengan teknik yang betul iaitu dengan:

✅ Memberus gigi mengenai semua bahagian gigi.

✅ Memberus gigi sekurang-kurangnya 2 minit. 

Dengan cara tersebut diharapkan agar gigi anda mempunyai waktu yang cukup untuk menyerap fluorida secara maksimum dan membentuk lapisan gigi yang lebih kuat seterusnya mengurangkan risiko terjadinya kerosakan gigi.

Jadi tidak kira sama ada anda terus berkumur-kumur selepas memberus gigi ataupun sekadar meludah sahaja, apa yang penting sekali adalah mengamalkan teknik memberus gigi dengan cara yang betul. 

Perbaiki dahulu cara memberus gigi kerana itu perkara yang paling asas sekali yang setiap orang harus kuasai, kemudian baru tentukan sama ada anda mahu atau tidak untuk mengikut saranan tidak berkumur-kumur selepas memberus gigi tersebut.

Semoga bermanfaat!

~ Dr Mohd Khairul Izwan Bin Abdul Wahab ~





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TERKINI: SABAH MULAKAN PEMBERIAN DOS PENGGALAK.

20 Oktober 2021 KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Bin Haji Noor hari ini merasmikan Majlis...